Tuesday, June 25, 2013

Ini cerita tentang Syaa'ban



Assalamualaikum w.b.t

Bertepatan dengan tetamu kehormat yang bakal berkunjung tiba tidak lama lagi iaitu Ramadhan, seharusnya kita sebagai tuan rumah perlulah menyediakan segala persiapan agar Ramadhan yang akan singgah tidak lama lagi tidak menghampakan, bahkan menjadikan ianya lebih baik daripada sebelumnya...

Persiapan merupakan antara asas penting dalam melaksanakan sesuatu tugasan kerana padanya akan lahirlah sebuah keseriusan dalam diri terhadap sesuatu yang kita akan hadapi...ini bertepatan sebagaimana manusia membuat apa jua persiapan dalam menghadapi kehidupan masa hadapan dari sudut peperiksaaan, pekerjaan dan lain-lain, begitu juga manusia sepatutnya lebih fokuskan persedian untuk kehidupan di akhirat yang kekal selamanya.


Syaa'ban

Syaaban membawa erti berpecah atau bercerai berai. Ia dinamakan sedemikian kerana orang2 Arab pada bulan tersebut akan pergi ke mana-mana tempat untuk mendapatkan bekalan air sehingga ke gua-gua dan sebagainya, juga untuk berperang. Namun, terdapat juga sesetengah yang berpendapat bahawa bulan itu merupakan bulan pemisah antara bulan Rejab dan Ramadhan.

Namun perkara ini tidak disebut dalam hadis. Cuma, ulama' yang memberikan pengertian sedemikian sekadar memberi suntikan kepada manusia untuk mengambarkan bahawa dalam bulan ini terdapat kelebihan tertentu seperti berpuasa agar manusia dapat membiasakan diri untuk menempuhi Ramadhan yang bakal menjelma.


Puasa Syaa'ban dan Fadhilatnya

Melahui Aisyah r.a :

"Aku tidak pernah melihat Rasullullah SAW berpuasa dalam bulan lain lebih daripada puasa Syaaban. Baginda pernah berpuasa Syaaban sepenuhnya, kecuali hanya beberapa hari (tidak berpuasa)" (Muttafaq 'Alaih)

Terdapat juga hadis-hadis lain yang menyebut Nabi SAW banyak berpuasa pada bulan Syaaban. Kalau dikatakan, apakah hikmahnya memperbanyakan berpuasa di bulan Syaaban?

Maka jawapan nya adalah perkataan Al-Hafiz Ibn Hajar:

Yang lebih tepat apa yang diriwayatkan oleh Nasa'i dan Abu Daud serta disahihkan oleh Ibnu Khuzaimah dari Usamah bin Zaid, dia berkata, saya bertanya:

"Wahai Rasullullah, saya tidak melihat tuan (sering) berpuasa dalam satu bulan seperti tuan berpuasa di bulan Syaaban?"

Baginda bersabda:

"Itu adalah bulan yang kebanyakan orang melalaikan iaitu antara Rejab dan Ramadhan. Iaitu bulan yang di dalamnya di angkat amalan-amalan kepada Allah, Tuhan seluruh Alam. Maka aku ingin amalanku diangkat, sedang aku dalam keadaan berpuasa."
(dinyatakan hasan dalam Sahih An-Nasa'i, no. 2221)

Hadis ini menjelaskan bahawa baginda berpuasa sebahagian besar daripada bulan Syaaban. Oleh itu, antara hikmah puasa dalam bulan ini bukan sahaja sebagai persiapan bulan ramadhan bahkan sebagai peringatan untuk perbanyakan amalan.

Dari sudut lain pula, ada ulama' yang mengibaratkan puasa Syaaban seperti solat sunat rawatib iaitu sebagai persediaan dan perhatian bahawa ramadhan yang hanya datang sekali dalam setahun bakal tiba dan yang menjanjikan pelbagai ganjaran yang boleh kita perolehi jika kita berusaha.

Namun, perlu diambil perhatian juga kerana terdapat beberapa hadis palsu yang menyatakan keutamaan berpuasa dalam bulan Syaaban seperti hadis:

" Dan jika ia bangun pagi itu (bulan Syaaban) dalam keadaan berpuasa maka baginya pahala seperti puasa dua tahun. Setahun sebelumnya dan setahun akan datang."

*Ibnu Jauzi menyatakan bahawa hadis ini adalah hadis palsu.





Nisfu Syaa'ban

Sering menitir dari bibir ke bibir masyarakat kita tentang pengkhususan ibadat tertentu pada malam nifsu (pertengahan / 15) Syaaban dan hadis-hadis yang menjanjikan jumlah dan bilangan pahala atau balasan tertentu bagi ibadah di dalamnya. Namun, berkait dalam masalah ini sebahagian hadis dikategorikan sebagai hadis dhaif (lemah), bahkan terdapat hadis maudhu' (palsu) oleh para ulama hadis.

Namun, Dr Yusuf al-Qardawi menyanggah terdapat hadis tertentu yang berkait keutamaan malam tersebut secara khusus dengan melakukan ibadah-ibadah tertentu. 

Antara contoh dari hadis palsu berkenaan malam ini adalah:

“Barangsiapa yang melakukan solat empat belas rakaat, membaca al-fatihah empat belas kali, seterusnya diikuti an-nas dalam bilangan yang sama seterusnya membaca ayat kursi dan lain-lain maka baginya dua puluh haji mabrur dan seperti puasa dua puluh tahun yang diterima.”
*Berkata Ibn Hibban, terdapat salah seorang perawinya adalah pereka hadis.

Namun ini bukan bermaksud malam itu perlu sunyi sepi tanpa sebarang ibadah. Kita masih boleh teruskan beribadah seperti malam-malam biasa atau lebih banyak dan menyerahkan ganjaran hanya kepada Allah SWT. Yang menjadi salah, adalah apabila kita menyatakan atau melakukan ibadah itu untuk mendapatkan ganjaran atau keutamaan tertentu tetapi tidak berdasarkan hadis-hadis yang sahih.

Terdapat juga persoalan tentang membaca surah yassin pada malam tersebut sebanyak tiga kali, ia merupakan suatu bentuk pengkhususan ibadah tidak berdalil. Namun, pembacaan al-Quran atau membaca surah yassin sekalipun tidak menjadi masalah kerana membaca al-Quran itu ibadah tetapi tidak boleh beranggapan ia adalah suatu surah yang mesti dibaca pada malam berkenaan sahaja. Adapun lebih baik kita membaca al-Quran tanpa ada pengkhususan ayat atau surah.

Oleh itu, lebih utama ia tidak dilakukan bukan disebabkan pilihan surah dan bilangan bacaan itu. Hal ini kerana tiga kali bacaan adalah suatu bentuk proses yang lama. Ia boleh membawa pembaca membaca dalam keadaan tergesa-gesa hingga mengabaikan hukum tajwid di dalamnya. Justeru, cukup sekadar sekali dan lebih baik bersama tadabbur ayat-ayat berkenaan. Namun ia masih tidak menjadi kesalahan jika anda ingin membacanya juga sebanyak tiga kali dan haruslah tidak mengabaikan hukum tajwidnya, dan tidak bersandarkan kepada mana-mana hadis palsu lain.


Puasa Separuh akhir bulan Syaa’ban

Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w bersabda: 

"Apabila berbaki seperdua daripada Syaa’ban maka janganlah kamu berpuasa."                 (Tirmidzi, Hasan Sahih)

Berdasarkan hadis diatas, terdapat perbezaan pendapat dikalangan para ulama', ada sebahagian membenarkan jika seseorang itu melazimi puasa pada seperdua sebelumnya atau melazimi puasa sunat Isnin dan Khamis atau puasa nabi Daud a.s (puasa selang sehari).

Adapun pendapat daripada mazhab Syafie seperti disebutkan Imam An-Nawawi bahawa tidak harus berpuasa bahkan ada pendapat dari mazhab ini mengharamkannya.
Justeru, sebagai langkah berjaga-jaga, pada kesempatan Syaa’ban yang baru sahaja membuka tabir, ayuh kita berlatih untuk berpuasa di samping boleh berlepas daripada hukum ini sekiranya kita ingin berpuasa pada seperdua akhir syaa’ban nanti.


Puasa Hari Syak

Hari syak adalah sehari atau dua hari sebelum Ramadhan. Terdapat larangan berpuasa pada hari syak disebabkan pada hari tersebut tidak jelas apakah sudah masuk bulan Ramadan atau belum malah ditegah jika niatnya hanya ingin berhati-hati untuk tidak tertinggal Ramadhan. Adapun bulan Ramadhan diperintah untuk melaksanakannya selepas kelihatan anak bulan. Walaubagaimanapun, kita sekarang berada di era moden ini, sudah tidak menjadi masalah kerana terdapat pengumuman rasmi dikaca televisyen mahupun di corong-corng radio oleh pemegang mohor raja-raja dan ahli2 falak yang lain.
Namun demikian, seseorang itu masih boleh berpuasa jika hari berkenaan bertepatan dengan hari yang disunatkan untuk berpuas seperti hari Isnin dan Khamis. Jika tidak bertepatan dengan mana-mana hari yakni tiada asbab yang lain maka ia tidak dibenarkan.


Hadis Palsu..???

Disini saya juga ingin memberi peringatan kepada diri dan sahabat2 sekalian supaya berhati-hati semasa melontarkan atau share/post apa-apa hadis kerana di kuatiri ainya hadis palsu. Oleh itu, buatlah sedikit kajian agar kita tidak menyebarkan bahan-bahan yang salah.

Berikut merupakan contoh2 hadis palsu atau dhaif yang agak femes di wall Facebook baru ini...

HADIS PERTAMA:

Daripada ‘Aisyah r.a, dia berkata: 

“Pada suatu malam saya kehilangan Rasulullah s.a.w. lalu saya keluar, ternyata baginda berada di Baqi’, 

lalu Rasulullah bersabda:

“Apakah kamu takut padahal Allah dan Rasul-Nya melindungimu?”

Saya (‘Aisyah) jawab: 

Ya Rasulullah, saya mengira engkau mendatangi sebahagian isterimu (yang lain).”

Baginda bersabda: 

“Sesungguhnya pada malam Nisfu Sya’ban Allah turun ke langit dunia lalu mengampuni lebih banyak dosa daripada banyaknya bulu kambing Bani Kalb.”

[Hadis Riwayat Imam Ahmad, Imam Tirmidzi. “Dhaif Jiddan”].

HADIS KEDUA:

Daripada ‘Ali bin Abi Talib r.a, dia berkata Rasulullah s.a.w. bersabda: 

“Jika datang malam Nisfu Sya’ban, maka bangunlah pada malam harinya (untuk bersolat) dan berpuasalah pada waktu siangnya. Sesungguhnya pada saat itu sejak tenggelamnya matahari, Allah turun ke langit dunia seraya berfirman: “Ketahuilah, sesiapa yang meminta keampunan, maka Aku akan mengampuninya dan ketahuilah sesiapa yang meminta rezeki maka Aku akan memberinya, ketahuilah sesiapa yang sakit maka aku akan menyihatkannya, ketahui sesiapa yang begini aku akan begitu hingga terbit matahari.

 [Hadis riwayat Ibnu Majah – “Maudhu’”].

HADIS KETIGA:

“Wahai ‘Ali, sesiapa yang solat seratus rakaat pada malam Nisfu Sya’ban, pada setiap rakaat membaca surah al-Fatihah dan Qul huwallahu ahad 10 kali, Nabi s.a.w. bersabda: “Ya ‘Ali, tidaklah seorang hamba yang solat seperti ini kecuali Allah akan memenuhi setiap setiap keinginan dan permintaanya pada malam itu…

Hadis ini adalah maudhu’ (palsu) sebagaimana dinyatakan Ibn al Jauzi di dalam al-Maudhu’aat, Ibn al Qayyim di dalam al-Manar al-Munif, al-Suyuthi di dalam al-Lali al-Masnu’ah.

HADIS KEEMPAT:

“Sesiapa solat dua belas rakaat pada malam Nisfu Sya’ban dengan membaca pada setiap rakaatnya Qul huwallahu ahad 30 kali, tidak keluar hingga melihat tempat duduknya di syurga…”


Hadis ini adalah maudhu’ (palsu) sebagaimana dinyatakan Ibn al Jauzi di dalam al-Maudhu’aat, Ibn al Qayyim di dalam al-Manar al-Munif, al-Suyuthi di dalam al-Laali al-Masnu’ah.


*****


“Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka.” 
(Riwayat al-Bukhari, Muslim, dan selain mereka).


No comments:

Post a Comment